Sabtu, 18 September 2021

Jawatankuasa Pembangunan Tok Bali pantau ECERDC

Jawatankuasa Pembangunan Tok Bali pantau ECERDC

SITI FATIHAH AWANG | | 25 Ogos 2021, SinarHarian


KOTA BHARU - Jawatankuasa Pembangunan Tok Bali yang melibatkan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan ditubuhkan untuk memantau Projek Pembangunan Wilayah ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob berkata, jawatankuasa berkenaan juga bertujuan menyelaras dan merancang pembangunan serta menyelesaikan isu berkaitan pelaksanaan projek dan usaha menarik pelaburan di Tok Bali.

Menurutnya, antara komponen pembangunan Tok Bali ialah Taman Industri Tok Bali yang masih dalam fasa pelaksanaan dan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali fasa 1B yang dijangka siap Ogos tahun depan.

"Selain itu kita ada Pelabuhan Tok Bali yang melibatkan naik taraf kepada pelabuhan komersial dan pembesaran jalan satu lorong kepada dua lorong di Jalan Pasir Puteh-Tok Bali," katanya ketika sesi soal jawab di Persidangan DUN Kelantan di sini pada Rabu.

Terdahulu, Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Semerak) mengajukan soalan mengenai perkembangan Projek Pembangunan Wilayah ekonomi Pantai Timur (ECERDC ) di Tok Bali.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Wan Hassan turut mengemukakan soalan tambahan mengenai sejauh mana kerajaan maklum dan mengambil tindakan mengenai isu pemendapan di beberapa kawasan berkenaan terutama di Terusan Semerak.

Mengulas lanjut, menjawab soalan tambahan berkenaan, Ahmad berkata, kerajaan sudah membincangkan perkara itu melalui jawatankuasa berkenaan melibatkan beberapa cadangan untuk penyelesaian.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/157540/BERITA/Nasional/Jawatankuasa-Pembangunan-Tok-Bali-pantau-ECERDC

 

 Transformasi Tok Bali pemangkin ekonomi baharu Kelantan

By Wartawan MalaysiaGazette : 12 July 2021 


 KUALA LUMPUR – Projek-projek yang sedang dan bakal dilaksanakan di kawasan Tok Bali perlu diberi keutamaan kerana berpotensi menjadi “game changer” dalam transformasi ekonomi di Kelantan. 

Sehingga Jun 2021, Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memperuntukkan sejumlah RM297.7 juta untuk pembangunan di kawasan tersebut. Ia membabitkan Taman Industri Tok Bali (TBIP) sebanyak RM200 juta; Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) ( RM67.7 juta) serta menaik taraf Jalan Tok Bali-Pasir Puteh (RM30 juta).

Manakala pelaburan komited daripada pihak swasta di Tok Bali sehingga Jun 2021 berjumlah RM1.75 bilion dan daripada jumlah ini RM329 juta telah direalisasikan.

Bagi memastikan projek-projek ini bakal memacu ekonomi dan aktiviti-aktiviti perdagangan rentas sempadan, Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali pada hari ini bersetuju supaya satu rumusan strategi dapat disediakan bagi mengenal pasti langkah-langkah pelaksanaan pembangunan kawasan Inland Port Pasir Puteh bersama Pelabuhan Komersial Tok Bali yang melibatkan agensi-agensi seperti Kementerian Kewangan (MOF), MOT, UPE, UPENK, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), PLANMalaysia, Petronas dan sektor swasta.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kerajaan Negeri telah memulakan perancangan untuk membangunkan Inland Port Pasir Puteh dan akan diselaras dengan pembangunan sedia ada di kawasan sekitar agar dapat menawarkan perkhidmatan sokongan dan mewujudkan ekosistem yang kondusif kepada industri sedia ada.

Memandangkan kedudukan strategik Tok Bali serta infrastruktur yang bakal disediakan untuk menjamin kemampanan pembangunan di Tok Bali, mesyuarat telah memutuskan supaya PLANMalaysia mempercepatkan pelaksanaan Kajian Sempadan Antarabangsa Malaysia-Thailand (KSAMT) dengan mengambil kira impak pembangunan Tok Bali

kepada pembangunan kawasan sempadan di negeri Kelantan.

Selain itu, pihak ECERDC sedang melaksanakan Pelan Transformasi Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali yang akan memperkukuhkan rantaian nilai perikanan dengan kemudahan infrastruktur yang menyokong aktiviti hiliran dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan bagi menghasilkan produk berasaskan ikan yang bernilai tinggi.

ECERDC berkata, mesyuarat telah menetapkan supaya garis masa pelaksanaan untuk Pelan Transformasi perlu dimuktamadkan serta memastikan semua isu berkaitan pelaburan dan bekalan ikan ditangani segera. Ini bagi membolehkan objektif menjadikan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali sebagai pusat aktiviti perikanan huluan dan hiliran dapat dicapai.

Sementara itu, Mustapa berkata, perancangan untuk membangunkan kawasan Tok Bali akan turut memberi penekanan kepada sektor minyak dan gas, pembuatan, logistik dan perkhidmatan serta sektor tradisi seperti industri perikanan.

Semua sektor ini berupaya untuk mempelbagaikan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan serta memberi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan membuka peluang keusahawanan kepada masyarakat setempat.

”Kekangan pandemik COVID-19 tidak menjadi penghalang kepada kerja-kerja pembangunan yang berlangsung di Tok Bali. Kerajaan yakin projek-projek yang telah dirancang bakal mengurangkan impak pandemik di Tok Bali yang masih dilihat sebagai destinasi pelaburan yang menarik di negeri Kelantan.

”Kerajaan menyasarkan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Tok Bali menerusi pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi yang sedang dan telah dilaksanakan. Projek ini akan membawa manfaat dan kesan limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette

Selasa, 14 September 2021

 KISAH TOK BALI... Bermula

Pembangunan yang dirancang melalui Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan memajukan Tok Bali sebagai pangkalan bot nelayan dan jeti pelancongan ke Pulau Perhentian dan ke Pulau Redang. Dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9), Jabatan Laut Malaysia memperuntukkan RM5 juta untuk tujuan tersebut.

Tok Bali juga berpontensi sebagai sebuah pelabuhan di negeri Kelantan dengan wujudnya peluang pekerjaan seperti Pengkalan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia sebagai tempat perikanan dan Pengkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) sebagai tempat simpanan minyak dan gas